Thursday, May 29, 2008

KB Mall Di Nobat Kompleks Beli Belah Terunggul Di Malaysia


kb mall

KB Mall terpilih sebagai kompleks membeli belah terunggul di Malaysia mengatasi kompleks membeli belah terkemuka di seluruh negara dalam majlis anugerah "Retail Development"(kategori kompleks membei belah) yang diadakan di salah sebuah hotel terkemuka di Shah Alam pada 27 Oktober lalu.

Kejayaan tersebut juga melayakkan kompleks membeli belah yang berpusat di Kota Bharu itu mewakili Malaysia untuk pertandingan kompleks membeli belah terunggul yang akan diadakan di Belanda pada Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Perpaduan Masyarakat, Dato’ Anuar Tan mengumumkan kejayaan tersebut dalam sesi penggulungan Perbahasan Menyokong Titah Ucapan Sultan Kelantan dalam Persidangan Kali ke 3 (Belanjawan) bagi tempoh penggal ke 4 Dun Kelantan.

Beliau menyifatkan pencapaian ini adalah pencapaian luar biasa kerana KB Mall dapat mengatasi kompleks membeli belah terkemuka di Kuala Lumpur seperti Sogo, Suria KLCC, Lot 10.

"Sewaktu urusetia majlis tersebut menalefon saya bagi pengesahan kehadiran, saya tidak sangka kita akan menerima anugerah seumpama itu kerena pengumuman anugerah hanya diumumkan pada malam tersebut," katanya.

Jelasnya, antara kriteria KB Mall dipilih sebagai pusat membeli belah terunggul kerana jumlah pengunjung teramai pada 2005, jumlah nilai perniagaan yang tertinggi serta sumbangannya kepada sektor pelancongan di Malaysia.

Anuar turut menyebut juri yang terlibat dalam penilaian bagi anugerah tersebut. Antara juri yang terlibat daripada tujuh orang juri tersebut ialah Tan Sri Kamarul Ariffin Mohd Yasin, Dato’ Seri Megat Tajuddin dan Dato’ Nafsiah Omar. Anugerah tersebut disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah

Jelasnya lagi, walaupun majlis tersebut turut dihadiri ramai wartawan, mungkin disebabkan Kelantan menerima anugerah kompleks membeli belah terunggul, berita mengenainya tidak diketengahkan oleh media.

Katanya lagi, pada majlis yang dihadiri kira-kira 3000 tetamu itu hanya Kelantan dihadiri oleh wakil exco kerajaan negeri.

"Sewaktu Kelantan diumumkan sebagai pemenang, semua hadirin bertepuk tangan, kira-kira lima minit. Saya pun hairan kenapa kita mendapat tepukan yang begitu gemuruh.

"Saya berpendapat ini merupakan pencapaian yang amat baik. Dan pada bulan hadapan ‘wau bulan’(simbol KB Mall) akan terbang ke Belanda dan Kelantan akan dikenali dalam peta pelancongan di Malaysia.

"Kita berpijak di bumi yang nyata dan jangan terlalu berangan-angan. Biarlah apa yang kita lakukan itu untuk rakyat seluruhnya"katanya.

Sementara itu, sewaktu ditanya oleh Speaker sama ada pihak KB Mall akan mengadakan majlis bagi meraikan kejayaan tersebut, jelas Anuar, majlis tersebut akan diadakan dalam suasana meriah.

"Pihak pengurusan KB Mall telah menyampaikan kepada saya, majlis tersebut akan menjadi satu majlis yang ‘grand’ dan dijemput semua rakyat Kelantan untuk meraikannya," katanya yang disambut tepukan gemuruh ahli Dun yang lain.

Sumber - Harakah

Kobis


Kobis atau nama sainsnya Brassica oleracea yang berasal dari pertengahan Mediterranean ( Ibid :hlm 5 ) . Pokoknya rendah sahaja , mempunyai batang yang lembut dan hanya dilitupi oleh dedaun hijau. Ia memerlukan masa yang agak panjang untuk mengeluarkan putik kobis. Selang beberapa bulan barulah ia boleh dipetik dari pokoknya.
Kobis menjadi kegemaran rakyat seluruh dunia. Sesetengah orang berpendapat bahawa namanya ( cabbage ) berasal dari perkataan Latin di zaman Rom Purba yang membawa maksud ‘kepala’. Sungguhpun ia adalah sejenis sayuran, namun terdapat banyak nilai perubatan daripadanya. Ia telahpun diceritakan sejak berzaman oleh Hippocrates, Aristotle dan Pliny. Pada masa itu, orang Rom menggunakan kobis untuk mengubati sakit kepala, insomnia, memberhentikan pendarahan pada kulit dan mengurangkan sakit ketika bersalin.

Khasiat Kobis
Pada masa ini , perubatan moden telah menyokong pendapat lama tersebut. Para saintis telah membuktikan bahawa kobis mempunyai bahan yang menambahkan kekalisan tubuh manusia dan memberhentikannya menjadi tua sebelum masanya. Kobis kaya dengan vitamin C daripada epal, pir dan pisang. Dengan hanya memakan sejumlah 20 gram kobis mentah sudah cukup menampung keperluan harian vitamin C untuk orang dewasa.
Eleman mikro yang terdapat pada kobis menentukan metabolisme yang sungguh bernilai kepada manusia semasa mengharungi usia. Ia juga penting untuk pertumbuhan organisme kanak-kanak. Sesetengah daripada kompenan yang terdapat pada kobis dapat mencegah tompok-tompok pada dinding vaskular dan mengurangkan batu pada buah pinggang.
Selulosa pada kobis amat berguna untuk kesihatan manusia. Pertamanya ia menghapuskan kolesterol dan dapat mengawal arterosklerosis. Di samping itu ia juga mencegah penerimaan karbohidrat yang berlebihan dan secara tidak langsung mengawal diabetes. Dedaun hijau kobis muda sangat berharga kepada sesiapa yang menghidap anemia kerana ia mempunyai jumlah vitamin yang paling banyak.
Satu lagi bahan yang berharga terdapat pada kobis ialah asid tartronik. Ia menghalang penukaran gula dan karbohidrat manakala yang lain menjadi lemak. Maka ia sesuai untuk amalan menjaga berat badan dengan hanya memakan salad kobis setiap hari. 100 gram kobis menghasilkan hanya 30 kilokalori. Dengan mempunyai nilai kalori yang minima ini, kobis mempunyai nilai biologi yang maksima. Sebagai tambahan, ia menghasilkan perasaan kenyang yang berpanjangan dan mudah di hadam.Para doktor mandapati bahawa jus kobis segar membantu menyembuhkan ulser perut dan duodenal serta mengubati gastrik. Para saintis juga dapat mengasingkan kompenan baru dari kobis segar yang mengandungi faktor anti ulser.
KOBIS
Brassica oleracea merupakan nama sains bagi bunga kobis dan sayur ini berasal dari keluaraga Brassica. Sayur ini mengandungi belerang, iaitu sejenis zat galian yang penting untuk kesihatan. Kobis bukan sahaja berkesan untuk mengubati
penyakit ulser dan barah malahan juga berkesan untuk mengubati masalah –masalah lain di usus.
Kobis yang kaya dengan kalsium, fosforus, zat besi, sodium, potasium dan vitamin A, B- Kompleks dan C dapat meredakan masalah di bahagian perut dan hati seperti yang dialami oleh mereka yang lali arak. Kompaun belerang dalam kubis dapat menghindarkan pengeluran carcinogen, sejenis bahan kimia berbahaya dalam tubuh badan. Amalan memakan kobis dapat menghalang carcinogen daripada bergabung menjadi sel-sel darah. Selain itu asid amino yang mengandungi belerang dalam kubis juga bertindak menurunkan paras kolestrol , meredakan saraf dan menenangkan fikiran dan sekaligus membantu seseorang itu tidur dengan selesa pada waktu malam.

Nikmat rakyat Selangor yang tidak dikecapi dalam pemerintahan BN

Adnan Ibrahim
Thu | May 29, 08 | 3:53:24 pm MYT

Pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan menyiasat penglibatan samseng yang memukul penduduk hingga berlaku tragedi berdarah, sama ada ia turut melibatkan syarikat konsesi lebuh raya Cheras-Kajang atau tidak, sangat dialu-alukan rakyat.

Kes orang awam kena pukul oleh semseng yang diupah syarikat pemaju atau konsesi memang sudah menjadi perkara biasa dalam pemerintahan BN.

Sebab itu pemerintah BN memang terkenal dengan berleluasanya mafia yang `mencari makan' dengan golongan kapitalis untuk mengugut dan memukul orang awam yang dikatakan menggangu urusan `pembela' mereka.

Malah bagi bukti penglibatan semseng dengan pemaju amat sukar kerana ia dilindungi sama ada pihak berkuasa atau pengaruh kerajaan sendiri. Walaupun perkara ini juga berkait dengan unsur rasuah atau imbuhan lumayan bertujuan tutup mulut dan putar belit kejadian sebenar.

Bagi menjaga kepentingan kapitalis ini, tidak hairanlah orang awam turut dipukul oleh pasukan keselamatan. Polis yang hadir sepatutnya bertindak menjaga keselamatan apabila ada perhimpunan sebaliknya mereka bertindak di luar etika memukul orang awam.

Dalam kes 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) membelasah remaja Chang Jiun Haur dengan cota dan ditendang sehingga berdarah, memang boleh berlaku kerana dasar seumpama itu masih lagi menguasai Kerajaan Pusat.

Chang Jiun, 21 dikatakan hadir di tempat pembinaan benteng konkrit dekat Bandar Mahkota Cheras (BMC) malam tadi bersama adik perempuannya dan dua lagi rakan lelaki.

Ketika memandu keluar dari tapak benteng tersebut pada kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, kereta beliau dikepung oleh anggota polis yang sebelum ini, menyeleraikan pergaduhan membabitkan penduduk BMC.

Alasan beliau dipukul kerana didakwa melanggar anggota FRU. Bagaimanapun, seorang pegawai polis yang membawa Chang ke Hospital Kajang berkata tidak seorangpun anggotanya dilanggar oleh kereta remaja itu.

Sementara media elektronik dan akhbar 'mainstream' secara besar-besaran serta menjadi berita utama melaporkan remaja terbabit melanggar anggota FRU dengan keretanya.

Laporan yang sering kali menyalahkan orang awam apabila berlaku tragedi sedemikian tanpa usul periksa memang kerap berlaku. Malah penduduk yang dipukul samseng juga dilaporkan secara memutar belitkan kejadian dengan menuduh penduduk bergaduh dengan pekerja.

Akhbar berbahasa Cina melaporkan lebih daripada 10 orang cedera parah dalam kejadian pergaduhan samseng dengan penduduk tersebut.

"Mereka terus menyerang penduduk terbabit. Kira-kira 10 orang dipukul dan tiga daripadanya adalah wartawan. Kamera juga turut dirampas," dakwa Pengerusi Jawatankuasa Buka Jalan BMC, Tan Boon Hwa.

Penduduk BMC, Chin Kee Chong patah tangan kanannya serta turut cedera di bahagian kepala, manakala seorang lagi penduduk, Lee Ah Seng, cedera parah di kepalanya yang memerlukan tujuh jahitan.

Akhbar Inggeris ada menyiarkan jurugambar Utusan Malaysia, Roy Azis Abdul Aziz dipukul ketika beliau cuba mengambil gambar pergaduhan tersebut.

Sebaliknya media memanipulasikan berita mengatakan wartawan dipukul penduduk dan kemera mereka dirampas.

Bagaimanapun penduduk Selangor kali ini sangat bersyukur mempunyai pemerintah yang prihatin tentang nasib dan maruah mereka yang diaibkan sedemikian rupa.

Hal seumpama ini tidak berlaku dalam pemerintah Barisan Nasional (BN) yang lebih memihak kepada pemaju bila berlaku konflik antara kedua pihak.

Nikmat hidup sebagai rakyat yang dihargai pemerintah mula terasa sejak pakatan rakyat mengambil alih pemerintahan selepas pilihan raya umum lalu. Inilah pentingnya menyokong kerajaan berjiwa rakyat.

Kebahagian seumpama ini hanya dapat dikecap semasa pemerintahan khalifah Umar apabila mengarahkan tentera memerangi Yahudi yang mempersendekan dan mentertawakan seorang muslimat yang auratnya terdedah dikalayak ramai di pasar.

Wanita tersebut merasa terhina dan maruahnya dicabar lalu mengadu kepada pemerintah Umar. Lalu Umar mengarahkan tentera tersebut bertujuan memberi peringatan dan pengajaran bahawa rakyat di bawah pemerintahan Islam akan dibela maruah dan keaiban mereka.

Ini contoh negara Islam dan perkara inilah yang perlu diteladani oleh pemerintahan pakatan rakyat.

Dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan Selangor, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan menyiasat hubungan kumpulan samseng yang didakwa diupah oleh syarikat konsesi lebuh raya Cheras-Kajang sehingga menimbulkan ketegangan berdarah di BMC.

"Kerajaan negeri akan memanggil (mesyuarat agung tergempar atau EGM) untuk membuat audit terhadap Grand Saga Sdn Bhd untuk mendapatkan penjelasan aliran kewangan untuk mengupah samseng tersebut," kata Abdul Khalid.

"Jika ada bukti syarikat (konsesi lebuh raya) tersebut ada berbuat demikian, kerajaan percaya pegawai-pegawai termasuk pengarah syarikat boleh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencedera," kata Abdul Khalid di Shah Alam, semalam.

Khalid berkata Selangor tidak boleh mengetepikan hak orang awam walaupun anak syarikat kerajaan negeri memiliki saham dalam Grand Saga.

Wednesday, May 28, 2008

Ladang gaharu 1,000 ekar di Gua Musang


KOTA BHARU, 26 Mei (Hrkh) - Kelantan mungkin menjadi negeri pertama di negara ini yang meneroka secara komersial industri gaharu memandangkan ladang seluas 1,000 ekar sudah ditanam dengan pokok tersebut di Gua Musang.

Pokok gaharu atau lebih dikenali sebagai depu akan meningkatkan lagi pencapaian Kelantan dalam bidang biotek.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Husam Musa berkata, pokok depu mampu mengeluarkan hasil sehingga mencecah RM2 juta setiap satu ekar dalam tempoh 10 tahun.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Menceburi Industri Gaharu, di sebuah hotel di sini, semalam katanya tanaman pokok depu juga secara tidak langsung dapat mengekalkan alam semulajadi.

Seramai 50 peserta yang terdiri dari golongan profesional dari beberapa negara termasuk Yaman dan Brunei hadir pada seminar berkenaan.

Husam berkata, setiap satu ekar ditanam sebanyak 400 pokok depu.

�Kerajaan negeri juga akan mengeluarkan sijil khusus sebagai hak pemilikan ladang terbabit kepada pengusahanya bagi membolehkan sebahagian tanah tersebut dijual pada harga minimum,� ujarnya.

Berucap sebelum itu beliau memberitahu kerajaan negeri akan memberi penerangan kepada rakyat mengenai potensi pokok tersebut memandangkan pokok depu mempunyai dua kategori iaitu bermutu dan tidak.

�Kita tidak mahu mereka menanam pokok begitu sahaja tanpa mendapat ilmu khusus, nanti apabila sampai tempoh 10 tahun, tiba-tiba pokok itu rupanya tidak bermutu,� katanya.

Beliau juga berkata, penanaman pokok depu perlu dilaku secara komersial dan bukan lagi mengekalkan kaedah tradisional memandangkan permintaannya begitu tinggi.

Saturday, May 24, 2008

Bumi akan musnah pada 2019


Berita ini adalah sebuah berita lama, tetapi sekadar peringatan kembali dan info kepada yang masih tidak tahu. Sama ada akan berlaku atau tidak, NASA telah meramalkan bahawa Bumi ini akan musnah pada 1 Februari 2019. Sekumpulan saintis yang menggelarkan mereka LINEAR team telah menemui asteroid bernama 2002 NT7 pada 9 Julai 2002. Ukur lilitnya sebesar 1.24 batu dan kekuatan hentamannya lebih kurang 1 juta megaton letupan, cukup untuk memusnahkan sebuah benua.

Pemerhatian terus dibuat terhadap asteroid ini dan ianya mungkin akan dilaporkan dari semasa ke semasa. Walaubagaimana pun tahun 2019 masih jauh di hadapan, ada lagi yang perlu dibimbangkan iaitu George W.Bush atau Korea Utara atau mana-mana negara memulakan Perang Nuklear.

Apa-apa pun hanya Allah S.w.t Yang Maha Mengetahui. Saintis-saintis hanya meramalkan hentaman dari asteroid itu mengikut ujikaji semasa dan mungkin akan berlaku dan mungkin tidak. Semoga ianya menjadi tanda peringatan kepada diri kita yang sentiasa lalai dengan kehidupan dunia.

Friday, May 23, 2008

Khutbah 'cinta terlarang' mahu ubah perspektif umat Islam?

Khutbah Jumaat di masjid hari ini membawa tajuk berjiwa remaja iaitu `Cinta Terlarang'. Tajuk ini juga sering kali diguna penulis cereka seperti novel dan cerpen atau skrip drama.

Apa maksud pihak berkuasa agama menggunakan tajuk tersebut? Mungkin juga satu provokasi untuk menarik jemaah masjid lebih mendengar khutbah daripada tidur di samping menarik remaja mengikuti kandungan khutbah yang disampaikan.

Apa yang pastinya dibarisan depan jemaah solat ramai golongan berusia berbanding golongan belia yang lebih suka duduk di belakang. Kemungkinan juga tajuk yang digunakan sebagai pendekatan di masa akan datang untuk menarik golongan belia lebih ke saf depan dalam masjid.

Bagaimanapun pengertian daripada khutbah yang ingin disampaikan katib itu lebih diberi keutamaan walaupun ia nampak tidak serius.

Perkara utama yang sukar dirungkai dalam masyarakat sekarang ialah bagaimana untuk mengatasi masalah manusia bercinta sehingga mengundang kemungkaran. Hal ini turut berlaku yang amat ketara dalam masyarakat umat Islam.

Umat Islam sekarang yang mudah menerima pemikiran Barat menjadikan cinta bermasalah itu walaupun dilarang dalam Islam sebagai satu budaya hidup malah setiap cara serta susun atur kehidupan lebih berlandaskan kepada menteliti tersebut.

Terutamanya perspektif bercinta sebelum kahwin dan di alam pertunangan. Ia seolah-olah telah menjadi lumrah dan perkara biasa dalam masyarakat umat Islam. Sedangkan apa yang diberitahu oleh khutbah tersebut cinta seumpama itu adalah terlarang.

Perkara inilah yang cuba dirungkaikan supaya umat Islam menjadi insan yang bermoral dan berakhlak tinggi. Katib bertanggung jawab menyampai dan menyelar perbuatan serta amalan terlarang itu. Tetapi apakah katib mampu mengubah amalan yang telah menjadi budaya dalam kehidupan seharian orang Islam?

Kata katib ketika menyampaikan khutbahnya di Masjid Sungai Mulia, cinta tersebut merupakan perkara yang dilarang dalam Islam. Cinta yang diberikan oleh Allah kepada insan adalah satu kemulian sebaliknya manusia menjadikan cinta itu sebagai tempat memuaskan hawa nafsu mereka.

"Cinta itu baik jika digunakan pada tempat yang baik sebaliknya ia jadi mungkar apabila digunakan pada tempat yang tidak baik," ujarnya. Ramai umat Islam yang kecundang dalam permainan perasaan ini kerana insan berlainan jenis yang tidak halal apabila berduaan akan datang yang ketiga iaitu syaitan.

Pihak berkuasa agama bertanggung jawab menyampaikan dakwah untuk mengubah perspektif yang telah lama tertanam dalam pemikiran umat Islam. Bagaimanapun ia bukanlah satu perkara yang mudah lebih-lebih lagi peranan televisyen yang sering menayangkan filem serta drama yang bentuknya bercanggah dengan agama.

Khutbah hanya mampu disampaikan seminggu sekali. Tajuk khutbah minggu depan lain pula yang ingin disampaikan. Sedangkan televisyen boleh dikatakan setiap hari menyiarkan drama bercinta sebelum kahwin.

Akhirnya pihak berkuasa agama kalah. Jadi sebaiknya pihak berkuasa agama yang ada kuasa gunalah kuasa. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zahid Hamidi ada. Janganlah hanya puji idea pembangkang bagus di Dewan Rakyat sedangkan pelaksanaannya tidak berlaku.

Pandangan pembangkang terutama PAS dalam soal agama bukan baru di parlimen. Tetapi sampai sekarang tidak ada tindakan terutama dalam pendekatan selari kementerian dalam menangani keruntuhan moral dan gejala akhlak.

Selagi keadaan ini tidak tercapai selagi itulah masalah tidak boleh diatasi. Perkara ini pernah ditegaskan oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dahulu di Dewan Rakyat.

Walaupun kementerian pendidikan dan jabatan perdana menteri bahagian agama mahu mewujudkan manusia berakhlak sebaliknya kementerian lain terutama penerangan tidak bertindak selari malah lebih cenderung kepada hiburan yang akhirnya melalaikan manusia.

Guru turut terganggu baju kurung putih yang terlalu jarang

Munirah Bahari
Fri | May 23, 08 |

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada cadangan awal untuk menilai pakaian pelajar perempuan di sekolah yang perlu dinilai semula.

Masyarakat perlu mengetahui dan melihat bahawa cadangan ini dibuat hanya kepada pelajar perempuan Islam sahaja. Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini adalah berteraskan kepada lima asas yang utama.

Pertamanya, isu ini bukan mahu menyalahkan pelajar perempuan, akan tetapi ia sebagai salah satu kaedah pencegahan (sad zarai'ik) di dalam Islam supaya pelajar perempuan tidak terdedah kepada ancaman luar dan masalah sosial akibat daripada pemakaian yang terlalu jarang.

Langkah pencegahan ini sangat penting supaya mereka bebas daripada ancaman persekitaran mereka.

Keduanya, cadangan penukaran pakaian berwarna ini ditujukan kepada pelajar Islam, supaya cara pemakaian pelajar Islam selarii dengan Syariah dan tuntutan Islam itu sendiri.

Dalam Islam, baju kurung sahaja tidak lengkap jika masih menayangkan tubuh badan. Pemakaian baju kurung kepada pelajar bukan Islam bukanlah satu paksaan kepada mereka, akan tetapi mereka yang berminat memakai baju kurung berwarna sangat digalakkan.

Asas yang ketiga ialah, ramai guru turut mengeluh sebenarnya kerana pemakaian pelajar perempuan yang terlalu jarang menyebabkan tumpuan guru terganggu. Ini akan menyebabkan keadaan yang tidak selesa kepada guru-guru tersebut.

Keempat, peranan ibu bapa sangat penting dalam urusan persekolahan pelajar di mana ibu bapa juga berperanan memilih pemakaian yang sesuai untuk anak-anak mereka.

Asas yang terakhir ialah PKPIM tidak menuduh persepsi lelaki Malaysia semua sebagai mata keranjang akan tetapi secara fitrahnya mata lelaki akan mudah teransang dengan pemakaian yang seksi atau yang tidak menutup aurat. Apatah lagi yang melihatnya nanti guru- guru yang bertanggungjawab mendidik mereka.

PKPIM berpandangan bahawa pakaian awam ini merupakan salah satu faktor daripada banyak faktor-faktor lain yang menyumbang kepada jenayah seksual.

Tidak semua mereka yang berpakaian tidak menutup aurat atau terdedah itu semestinya menjadi mangsa, akan tetapi merupakan salah satu daripada faktor menyumbang kepada masalah gangguan seksual.

Selain itu juga, pakaian yang terdedah itu turut menimbulkan rangsangan kepada lelaki-lelaki di persekitarannya.

Sebenarnya, penjenayah itu dapat melihat dan teransang daripada orang yang tidak memakai tudung berbanding mereka yang bertudung atau menutup aurat. PKPIM juga tidak menafikan bahawa mangsa jenayah seksual ada terdiri daripada mereka yang bertudung dan menutup aurat, di mana penjenayah tidak mengenal mangsanya.

Tetapi hakikatnya, penjenayah seksual ini telah didedahkan dengan faktor-faktor seperti imej lucah, imej tidak menutup aurat di media, internet, vcd lucah dan sebagainya.

PKPIM bertegas bahawa imej-imej lucah, pendedahan aurat, etika berpakaian ini merupakan antara salah satu faktor menyumbang kepada masalah ini.

PKPIM mengharapkan Kementerian Pelajaran dapat mempertimbangkan cadangan ini dan dinilai kembali kerana ia sangat penting kepada semua. Semoga usaha ini mendapat sokongan daripada pihak luar.

---

Munirah bt Bahari ialah Naib Presiden HEWI, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)