Tuesday, May 13, 2008

Tidak selamanya saya kekal wakil rakyat Bebas - Ibrahim Ali

KOTA BHARU, 12 Mei (Hrkh) - Anggota Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali membuat pengakuan hanya akan menyertai parti yang benar-benar sesuai dengan perjuangannya.

Beliau berkata, tidak selamanya beliau akan terus kekal sebagai wakil rakyat Bebas.

"Biar pun merasakan begitu selesa dengan keadaan sekarang sebagai wakil rakyat Bebas, tetapi saya tidak menafikan tidak akan terus kekal dengan keadaan itu," katanya selepas menemui Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Kota Darulnaim, semalam.

Pada pilihan raya umum lalu beliau bertanding menggunakan lambang PAS dan mendapat kemenangan besar menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ahmad Rasdi Mahamad.

Sebelum itu pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir dan pilihan raya umum ke-11 beliau bertanding di atas tiket Bebas.

Ibrahim berkata, pada pilihan raya umum lalu PAS memberi sokongan padu terhadapnya walau pun tidak menyertai parti itu secara rasmi.

"Dalam pilihan raya baru-baru ini sebagai calon Bebas saya boleh guna simbol seperti kepala harimau, kepala kereta api dan sebagainya.

"Tetapi untuk menjimatkan kos terutamanya saya mengambil keputusan menggunakan simbol bulan," katanya.

Katanya juga beliau tidak perlu tergopoh-gapah untuk menyertai mana-mana parti yang secocok dengan jiwanya kerana masih banyak masa lagi untuk berbuat demikian.

Namun kata beliau buat masa sekarang lebih baik kekal sebagai Bebas bagi memudahkan menegur mana-mana pihak yang didapati bersalah.

"Sekiranya saya dianggap lantang sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen, tindakan itu tidak akan mengganggu imej parti yang disertainya," tambahnya.

Beliau menegaskan tetap akan bersuara menyokong perkara yang betul walaupun dibuat kerajaan pusat atau kerajaan negeri.

"Alhamdulillah Tok Guru bersetuju dengan pendirian saya itu dan saya tidak ada niat lebih daripada itu," ujarnya.

Pertemuan tersebut berlangsung selama sejam. Ibrahim turut menjelaskan beberapa isu yang berbangkit termasuk pendiriannya terhadap Karpal Singh.

No comments: